Pengilang Beras Nafi Wujud Beras Tiruan Daripada Plastik Di Negara Ini

ALOR SETAR, 15 Jun (Bernama) -- Pengilang-pengilang beras dari wilayah utara hari ini menafikan wujudnya beras palsu yang diperbuat daripada plastik di negara ini seperti yang ditularkan menerusi laman sosial sejak kebelakangan ini.

Pengerusi Pengilang Beras Sinomalay Kedah, Tan Yen Seong berkata perkara itu sangat tidak logik memandangkan harga plastik lebih mahal daripada beras.

"Ia sangat tidak berasas. Pihak kami merasakan wujudnya keadaan beras plastik adalah kerana kesilapan cara pengguna memasak beras itu. Seperti yang kita tahu, setiap jenis beras perlu dimasak dengan cara berbeza.

"Mungkin ketika masak, pengguna meletakkan air yang sedikit hingga menyebabkan nasi yang dimasak menjadi keras seperti plastik," katanya pada sidang media mengulas beras palsu di pejabat persatuan terbabit, di sini.

Turut hadir wakil persatuan pengilang-pengilang beras Kedah dan Perlis, Persatuan Pemborong Beras Kedah dan 20 anggota yang lain.

Tan berkata pihaknya sangat kesal dengan penularan berita beras palsu di media sosial yang menjejaskan imej pengilang selain menyebabkan pengguna waswas untuk membeli beras yang ada di pasaran.

Beliau juga berkata pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang menyebarkan berita palsu itu sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna.

"Saya sudah menjual beras selama 30 tahun malah ada dalam kalangan rakan pengilang di sini yang lebih lama dalam perniagaan ini dan kami tidak pernah sekalipun menemui beras tiruan.

"Oleh itu, kami menyeru pengguna yang masih waswas mengenai kualiti beras yang dibeli, merujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di tempat masing-masing," katanya.

-- BERNAMA