Jabatan Kesihatan Terengganu Terima Empat Aduan Makanan Basi

KUALA TERRENGGANU, 13 Jun (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menerima empat aduan berkaitan penjualan makanan kitar semula dan basi di pasar bazar Ramadan masing-masing di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohammad Omar berkata sehingga semalam sebanyak sembilan daripada 137 sampel makanan disyaki tercemar dan mengandungi kuman berbahaya dikesan yang melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

"Saya telahpun mengarahkan pegawai kesihatan di bahagian kualiti dan keselamatan makanan mengambil tindakan segera dan tegas berhubung perkara itu.

"Bagaimanapun kita akui sehingga kini, tiada sebarang laporan berkaitan keracunan makanan melibatkan penjualan makanan di bazar Ramadan di seluruh negeri ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini Selasa.

Dr Mohammad berkata melalui pemantauan dan pemeriksaan yang dibuat di semua 55 bazar Ramadan yang melibatkan 4,905 tapak gerai, Jabatan Kesihatan telah mengeluarkan 59 notis melibatkan kompaun keseluruhan berjumlah RM6,300 atas pelbagai kesalahan.

Antara kesalahan tersebut termasuklah tidak mengambil suntikan antitifoid, tidak memakai apron serta tahap kebersihan yang tidak memuaskan.

-- BERNAMA