Presma Cadang Tubuh Pasukan Petugas Tangani Masalah Jenayah

SEREMBAN, 20 Mac (Bernama) -- Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) bercadang mewujudkan pasukan petugas dalam menangani masalah jenayah membabitkan lebih 4,000 restoran India Muslim di seluruh negara.

Presidennya Ayoob Khan Muhamad Yakub berkata pasukan petugas itu adalah mengikut konsep Kawasan Rukun Tetangga (KRT) iaitu melalui skim rondaan sukarela.

"Jika penubuhan KRT adalah untuk memastikan keselamatan penduduk di kawasan tertentu serta mengukuhkan semangat perpaduan, tetapi pasukan petugas ini lebih ditekankan kepada memerangi atau melindungi para peniaga daripada ancaman jenayah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kaedah pasukan petugas ini akan dibincangkan lebih lanjut dengan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam masa terdekat.

"Apabila keputusan dicapai, kami akan melancarkannya pada tahun ini. Kami bercadang mewujudkan pasukan petugas ini di kawasan yang sering berlaku jenayah terutama yang membabitkan restoran India Muslim. Kami akan membuat projek perintis terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya," katanya.

Ayoob Khan berkata dalam masa yang sama pihaknya juga akan menghantar memorandum kepada KPN Jumaat ini.

Katanya memorandum tersebut adalah mengenai pelbagai isu semasa yang dihadapi pengusaha restoran India Muslim di seluruh negara dan usaha menanganinya.

Katanya antara isu semasa itu ialah ancaman jenayah siber dan gangsterisme.

"Kerajaan perlu memberi perhatian kepada peniaga termasuk peniaga masyarakat India Muslim bagi memastikan perniagaan mereka tidak terjejas dan dapat berniaga dengan selamat.

Kegiatan jenayah ini mendatangkan impak negatif dan perlu diatasi segera. Oleh itu, masyarakat dan kita semua perlu bersama-sama memainkan peranan dalam membanterasnya," kata beliau.

-- BERNAMA