Setem Hidangan Borneo Dilancar Khamis Ini

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Orang ramai boleh mendapatkan edisi kedua setem dan filateli 'Siri Makanan Perayaan' Pos Malaysia, yang memaparkan seleksi hidangan Borneo sempena Pesta Keamatan dan Hari Gawai, pada Khamis ini.

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia Diyana Lean Abdullah berkata siri itu menampilkan beberapa hidangan tradisional yang disaji kaum Kadazandusun di Sabah dan Dayak di Sarawak.

"Malaysia sememangnya terkenal dengan pelbagai makanan tradisional dan perayaan namun, makanan Kaum Kadazandusun dan Dayak agak 'luar biasa' dan sukar didapati.

"Jadi, kita mahu mewujudkan kesedaran di samping mendidik orang awam tentang makanan tempatan secara lebih khusus lagi," katanya semasa memaparkan koleksi setem itu di sini, hari ini.

Diyana berkata siri itu akan menampilkan tiga setem dengan reka bentuk berbeza yang menonjolkan makanan perayaan yang sering dihidangkan semasa perayaan kaum itu seperti Ambuyat, Linut, Hinava, Umai dan Pansuh Manuk.

Setem khas itu diterbitkan secara eksklusif dengan cetakan terhad 80,000 ke 100,000 keping dan dijual pada harga di antara RM0.60 ke RM0.90 sekeping.

Setem itu turut manampilkan lembaran mini yang berharga RM5.30, sampul surat (RM0.55), folder (RM6.35) serta set folder lengkap mengandungi setem dan semua produk filateli koleksi itu yang berharga RM69.20.

"Tanda pembatalan setem juga turut menampilkan ilustrasi Chandas iaitu penyepit tempatan yang digunakan kaum Bisaya di Sabah," katanya.

Edisi ketiga setem siri itu dijangka dikeluarkan pada Jun ini sempena Aidilfitri manakala edisi keempat pada Oktober ini sempena Deepavali.

--BERNAMA