Pengguna Perlu Belanja Secara Berhemah Sambut Aidilfitri

Oleh Zulkiple Ibrahim

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Bulan Ramadan baru menjengah masuk minggu kedua tetapi sudah banyak kompleks membeli-belah terutama di ibukota memulakan karnival 'Jualan Ramadan'.

Bazar-bazar sementara, yang menjual pelbagai barangan termasuk pakaian dan hiasan dalaman rumah, juga sudah muncul dan menambahkan lagi kemeriahan suasana bulan Ramadan.

Pakaian yang ditawarkan pula beraneka fesyen serta gaya bagi memenuhi citarasa pelanggan dari pelbagai peringkat umur.

Ada peniaga di bazar, yang diwujudkan hanya pada bulan Ramadan, menawarkan pelbagai barangan dengan tawaran 'harga yang menarik' seperti potongan harga hebat dan pelbagai kaedah lagi bagi menarik pelanggan.

Namun bagi warga pengguna Islam yang akan menyambut Aidilfitri adalah dinasihat agar berbelanja secara berhemah bagi mengelak daripada menanggung beban kewangan pada kemudian hari.

REALISTIK

Apa kata aktivis pengguna?

"Berbelanjalah dengan realistik," nasihat pensyarah universiti Amin Iskandar, yang juga seorang aktivis pengguna dan sosial.

Bagi Amin, warga pengguna perlu berbelanja mengikut kemampuan masing-masing dan tidak hanya mengikut 'selera'.

Kebiasaannya, bagi menyambut Aidilfitri sudah tentu warga pengguna tidak memerlukan semua barang yang ditawarkan oleh penjual.

"Sebelum membeli barangan untuk persiapan Hari Raya, sediakan satu senarai bagi barang mana yang perlu dan mana yang tidak diperlukan.

"Sesuaikan pembelian barangan dengan bajet anda," kata Amin.

Dengan pelbagai promosi dan tawaran jualan yang diadakan sekarang, ia amat mudah untuk menarik pengguna berbelanja besar tetapi mereka disarankan hanya beli produk diperlukan dan bukan terbawa-bawa dengan tawaran menarik, jelas beliau.

TANYA DIRI SENDIRI

Amin menjelaskan bahawa pengguna perlu bertanya kepada diri sendiri sebelum membeli barang dan jangan mudah terpedaya dengan tawaran menarik peniaga.

"Adakah saya perlu (barang ini)? Cukupkah bajet (wang) saya? " Itulah antara soalan yang perlu ditanya.

Beliau menasihati pengguna kalau mahu berbelanja, jadilah pengguna yang bijak.

"Pengguna bijak akan meneliti tawaran diskaun. Tidak bermakna kalau barang itu murah anda perlu membelinya.

"Bandingkan dulu harga barangan yang sama (antara peniaga) dan beli yang termurah ditawarkan.

"Tunggu sehingga ada hari bila peniaga mengadakan hari jualan di mana potongan harganya betul-betul hebat kerana ada peniaga yang sudah tentu mahu menghabiskan stok mereka sebelum Aidilfitri," jelas beliau.

BUKAN SEMUANYA PERLU DITUKAR

"Walaupun menyambut perayaan besar seperti Aidilfitri, bukannya semua barang dalam rumah perlu ditukar. Ada hiasan dari tahun lepas yang masih menarik dan boleh dipakai.

"Ini termasuklah perabot dan pinggan mangkuk," kata Amin.

Sementara itu, ramai majikan akan memberi gaji lebih awal bagi membantu pekerja Islam membuat persediaan menyambut 1 Syawal, jadi dalam aspek inilah pengguna perlu berhemah.

"Kalau berbelanja lebih dengan gaji yang diberi awal itu, pengguna akan menghadapi sindrom poket kosong bila menunggu kedatangan gaji pada bulan yang akan datang.

"Dan ini kemungkinan akan berjangkit kepada keinginan untuk berhutang yang akan menjadi satu penyakit," nasihat Amin lagi.

Menurut Amin, pengguna perlu menggunakan wang tunai dan elak guna kad kredit ketika berbelanja.

"Dengan hanya menggunakan tunai, anda tahu had bajet anda. Kalau guna kad kredit, anda sudah tentu akan berbelanja lebih," jelas beliau.

ELAK AMBIL TUNAI DARIPADA KAD KREDIT

"Ada pengguna guna kad kredit untuk ambil tunai, ini adalah satu tindakan yang amat bahaya dan tidak digalakkan sama sekali.

"Bila ambil tunai (melalui kad kredit), anda sebenarnya akan dikenakan faedah yang tinggi oleh bank," tambah Amin.

Amin menyarankan agar warga pengguna merancang dan berbelanja secara berhemah supaya mereka tidak dibebani masalah kewangan selepas Aidilfitri.

Oleh itu pastikan kewangan anda tidak terjejas semasa musim perayaan ini; banyakkan beribadah dan sambutlah Aidilfitri tanpa merasa kebimbangan terhadap status kewangan masing-masing.

-- BERNAMA