:: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan




Dana MyIPO Bantu Tingkat Kesedaran Usahawan Muda

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Menceburi bidang keusahawanan bukan lagi pilihan terakhir untuk menjana pendapatan sebaliknya menjadi keutamaan bagi generasi muda hari ini.

Dalam hal ini, kreativiti anak-anak muda cukup terserlah dalam melakukan penyelidikan serta inovasi untuk mengeluarkan produk hingga mampu memasarkannya bukan sahaja di dalam tetapi juga di luar negara.

Namun berapa ramai yang sedar hasil usaha mereka membangunkan produk dan perniagaan itu perlu dilindungi untuk menjaga hak eksklusif tersebut?.

Langkah mendapatkan perlindungan harta intelek yang sah di sisi undang-undang berupaya membantu mereka membina empayar perniagaan yang lebih kukuh.

Dengan bantuan dana yang diberikan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), tidak ada alasan lagi untuk mereka tidak melindungi produk yang dihasilkan daripada diciplak oleh pihak tidak bertanggungjawab.

ELAK DARIPADA MANGSA CIPLAK

Isu paten, cap dagangan atau hakcipta ditiru bukan perkara baru yang terjadi kepada usahawan sehingga menjejaskan perniagaan yang dijalankan.

Mengimbil iktibar daripada kes peniruan dan penipuan yang berlaku adalah antara sebab utama Ahmad Johari Ismail, 26 memilih untuk mendaftar produk yang bangunkannya di MyIPO walaupun ia masih belum dipasarkan lagi.

Hampir dua tahun beliau melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan reka bentuk sehingga menghasilkan prototaip produk yang diberi nama "Multi Purpose Barricade System".

Bersama abang sulungnya, Mohd Azahari Ismail, 36, produk itu dibangunkan dengan keunikan dua fungsi untuk kegunaan keselamatan jalan raya dan dalam masa yang sama boleh dijadikan tempat pengiklanan.

Mengetahui tentang dana disediakan MyIPO dua tahun lepas, beliau terus memohonnya secara dalam talian bagi mendapatkan sijil paten untuk produk yang dihasilkan.

"Saya ingin pastikan usaha dan titik peluh bersama abang membangunkan produk ini dilindungi agar tidak berhadapan dengan isu produk diciplak oleh pihak lain

"Saya melihat mempatenkan produk ini sangat penting terutama bagi menjaga hak eksklusif kita atas segala usaha membangunkan produk yang dihasilkan. Ia juga dapat membantu meningkatkan lagi nilai pada produk yang dihasilkan, " menurut graduan bidang Reka Bentuk Industri dari Universiti Kuala Lumpur ini.

Katanya banyak produk yang mempunyai sijil paten, cap dagangan atau lain-lain kategori di bawah MyIPO lebih dpercayai ramai kerana dilindungi undang-undang untuk diambil tindakan sekiranya ada pihak yang cuba melanggar hak tanpa kebenaran pemiliknya.

Mendapat dana bernilai RM6,000, Ahmad Johari berkata prosesnya tidaklah sesukar seperti yang dibayangkannya sebelum memohonnya.

"Saya ingat susah tetapi bila buat permohonan secara dalam talian tahun lepas, tak sampai enam bulan saya dapat jawapan yang MyIPo luluskan permohonan dana saya.

"Selepas mendapat dana itu baru proses memohon mendapatkan paten dilakukan. Prosesnya agak lama sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum diluluskan, " katanya.

Beliau berkata mungkin itu antara sebab ramai usahawan muda tidak tampil memohon bagi melindungi idea, ciptaan, jenama, reka bentuk mahupun imej yang digunakan dalam perniagaan mereka.

CARA YANG SANGAT MUDAH

Kemudahan yang diberikan kerajaan melalui dana memfailkan harta intelek turut membantu usahawan muda, Izat Izwan Idzian, 28 bagi membuat permohonan mendapatkan sijil cap dagangan untuk perkhidmatan penghantaran makanan yang dijalankan.

Jenama "Foodbike" yang diusahakan menjadi miliknya selepas permohonan mendapat sijil pendaftaran untuk nama tersebut diluluskan.

"Saya memohon dana yang diberikan MyIPO melalui dalam talian dengan mengisi borang yang disediakan. Selepas enam bulan pihak MyIPO memaklumkan permohonan saya berjaya.

"Adanya dana ini saya tidak perlu pening kepala lagi memikirkan mana untuk mendapatkan bayaran bagi mendaftarkan cap dagangan, " katanya yang telah menjalankan perniagaan perkhidmatan makanan sejak 2016.

Sebaik mendapat dana beliau terus memohon pendaftaran bagi mendapatkan cap dagang dan enam bulan selepas itu permohonannya diluluskan.

Menurut usahawan ini, ramai dari kalangan usahawan yang tidak tahu mengetahui dana yang disediakan ini dan beliau sendiri apabila bertemu rakan-rakan usahawan yang belum mendaftarkan di bawah harta intelek untuk segera berbuat demikian.

"Ini salah satu cara untuk melindungi perniagaan yang diusahakan. Kita tak mahu susah payah kita dengan mudah ditiru atau ada pihak yang menggunakan jenama yang telah kita bangunkan, " katanya.

HARTA INTELEK YANG DILINDUNGI

Ada beberapa jenis harta intelek yang dilindungi dibawah undang-undang antaranya Paten Perbaharuan Utiliti, Cap Dagangan, Petunjuk Geografi, Reka Bentuk Perindustrian dan Hak Cipta.

Di bawah Rancangan Malaysia ke-11 , Kerajaan memperuntukkan RM500,000 setahun dari 2016 hingga 2020 sebagai dana bantuan pemfailan permohonan harta intelek untuk pelajar dan belia.

MyIPO menyasarkan 200 pemohonan dana pada setiap tahun dan sehingga kini sambutan yang diberikan sangat menggalakkan, menurut Ketua Pengarah MyIPO Datuk Shamsiah Kamaruddin.

"Bagi tempoh 2016 hingga 2017, MyIPO telah meluluskan sebanyak 539 permohonan. Ia juga dijangka akan meningkatkan bilangan permohonan harta intelek tempatan di Malaysia, " katanya.

Peningkatan ini penting sebagai salah satu faktor penentu kedudukan Malaysia dalam Global Innovation Index (GII) dari segi harta intelek di mana permohonan harta intelek tempatan akan diambil kira semasa penentu GII.

Menurut beliau, dana ini juga turut ditawarkan kepada komuniti setempat/ tempatan yang layak untuk permohonan petunjuk geografi bagi menggalakkan lebih banyak inovasi dan pengkomersilan harta intelek dikalangan pelajar, belia dan komuniti setempat/ tempatan.

KRITERIA KELAYAKAN

Menjelaskan lebih lanjut syarat permohonan, Shamsiah berkata pemohon mestilah warganegara Malaysia berumur 8 tahun hingga 40 tahun.

Ia terbuka kepada usahawan/perekacipta/ pencipta; atau pelajar sekolah rendah/ sekolah menengah/ kolej/ institusi kemahiran yang diiktiraf oleh Kerajaan atau Komuniti setempat/ tempatan (pertubuhan atau persatuan yang dianggotai oleh masyarakat/ penduduk di sesebuah kawasan) bagi permohonan petunjuk geografi sahaja.

Pembiayaan merangkumi kos pemfailan kepada MyIPO dan juga kos perkhidmatan ejen berdaftar , katanya.

"Bagaimanapun dana itu hanya terhad pada satu komponen harta intelek bagi setiap penerima dan hanya untuk permohonan baharau yang belum pernah difailkan di MyIPO, " katanya sambil menambah dana tersebut diberikan dalam bentuk baucar.

Kos pembiayaannya pula berbeza mengikut kategori antaranya Cap Dagangan, RM1500, Paten RM7000, Reka Bentuk Perindustrian RM3000 dan Hakcipta RM600.

"Tindakan bijak para usahawan untuk mendapatkan perlindungan harta intelek yang sah disisi undang-undang berupaya membantu mereka membina empayar perniagaan yang lebih kukuh, " katanya.

Ini juga akan menguatkan keupayaan sesebuah perniagaan untuk menembusi pasaran domestik dan antarabangsa yang menyediakan pentas bagi membolehkan negara tampil sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi, katanya.

BERNAMA