MyDeposit: Impian Miliki Rumah Sendiri Jadi Kenyataan

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR (Bernama) -- "Kalau nak diikutkan memang kami belum mampu nak beli rumah, tapi memikirkan jika tak beli sekarang, bila lagi? Lagi pun harga rumah makin lama makin naik.

"Amat bersyukur bila dapat tahu tentang Skim Pembiayaan Rumah Pertamaku (MyDeposit). Alhamdulillah, macam mimpi jadi kenyataan bila dah ada rumah sendiri...Tak kisahlah kecil ke besar ke, yang penting hak sendiri untuk berteduh bersama suami dan anak-anak, " kata Norjauharatul Wahidah Zakaria, 32, mengukir senyuman.

Terpancar rasa puas di wajahnya ketika menceritakan kepada penulis bagaimana inisiatif kerajaan yang diperkenal sejak 2016 itu memberi makna besar kepada golongan muda dengan pendapatan sederhana seperti dirinya untuk memiliki kediaman sendiri.

CUBA NASIB

Sekitar dua tahun lepas wanita yang mesra dipanggil Wahidah dan berasal dari Kuala Terengganu ini "mencuba nasib" memohon skim MyDeposit selepas terbaca maklumat mengenainya di Facebook dan aplikasi 'Whatsapp' yang dikongsi rakan-rakannya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perlaksanaan skim berkenaan pada 6 April 2016, seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2016.

Ia menawarkan pembiayaan 10 peratus daripada harga rumah atau maksimum RM30,000 kepada pemohon yang mempunyai pendapatan isi rumah RM3,000 hingga RM15,000 untuk membeli rumah berharga RM500,000 ke bawah.

"Selepas dapat tahu mengenai MyDeposit, saya dan suami mula mengumpul segala dokumen yang diperlukan, mengisi borang dan menghantar sendiri permohonan kami bagi memastikan ia benar-benar sampai ke pihak sepatutnya.

"Kami juga sanggup turun naik ke pejabat Jabatan Perumahan Negara (JPN) untuk menyemak status permohonan kami lebih-lebih lagi jika talian telefon mereka sibuk. Nampak tak kegigihan kami demi mendapatkan rumah sendiri? Kena berusaha bersungguh-sungguh kalau betul-betul nak, " kata ibu kepada dua orang cahaya mata ini secara berseloroh.

KERAJAAN BANTU

Menjelaskan lagi tentang proses pembelian rumah di bawah skim MyDeposit, Wahidah berkata jumlah 10 peratus daripada harga rumah atau RM30,000 itu akan dimasukkan kepada akaun pemaju perumahan untuk projek perumahan baru. Untuk pembeli rumah 'sub-sale' seperti beliau, bayaran akan didepositkan kepada akaun peguam jual beli.

"Saya anggap ini sumbangan kerajaan untuk bantu golongan seperti kami dapat memiliki kediaman sendiri. Tentunya kami berasa amat bertuah dan bersyukur menjadi antara penerimanya, " jelas beliau yang bekerja di sektor swasta dan mempunyai dua orang cahaya mata.

Wahidah dan keluarganya sudah berpindah ke kediaman yang terletak di Bandar Kinrara, Puchong itu pada Oktober 2016.

UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI

Wahidah turut menasihatkan orang ramai khususnya golongan muda yang mempunyai pendapatan sederhana supaya tidak melepaskan peluang untuk memohon skim berkenaan.

Bagaimanapun, mereka perlu meneliti dan memenuhi syarat yang ditetapkan termasuk memastikan setiap borang lengkap diisi agar permohonan tidak mempunyai masalah sekaligus mudah mendapatkan kelulusan.

"Berkorban dan bersabarlah sikit jika ambil masa (proses permohonan), kena ikut banyak prosedur dan memenuhi semua keperluan kerana akhirnya kita juga yang untung. Nasihat saya, jika nak beli rumah kena banyak buat kajian dan paling penting wajib 'ukur baju di badan sendiri'.

"Pelbagai inisiatif yang kerajaan buat sebab nak bantu golongan muda memiliki rumah sendiri, tinggal kita sendiri nak usaha atau tidak. Saya sendiri, sampai sekarang masih tak percaya dah ada rumah sendiri, walaupun beli rumah ?sub-sale' tapi alhamdulillah dapat juga 'syurga' impian kami, " jelasnya sambil menambah turut menggalakkan ahli keluarga yang lain memohon skim berkenaan.

Sementara itu mengulas mengenai pelaksanaan skim berkenaan, Pensyarah Kanan Sekolah Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata skim yang diperkenalkan kerajaan itu secara tidak langsung menjadikan tempoh untuk rakyat memiliki kediaman sendiri lebih mudah dan cepat.

"Skim MyDeposit ini merujuk kepada golongan sasaran iaitu golongan pertengahan, harga rumah dengan had kelayakan yang ditetapkan. Ia juga umpama nilai tambah kepada penerimanya kerana boleh menggunakan simpanan sedia ada bagi tujuan membeli kelengkapan rumah serta kegunaan lain, " katanya.

PERTUMBUHAN TERANGKUM

Beliau pada masa yang sama berkata skim MyDeposit meneruskan kesinambungan program perumahan yang menerima bantuan subsidi kerajaan sebelum ini seperti Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA), Projek Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) dan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M).

Program berkenaan juga seiring dalam mencapai sasaran pertumbuhan terangkum seperti yang terkandung dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11).

"Strategi pertama dalam RMK-11 merujuk kepada inklusiviti yang menekankan agar setiap lapisan rakyat memperoleh kebaikan daripada kemakmuran dan pembangunan negara. Melalui strategi ini fokus diberikan kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

"Dalam RMK-11 juga isu pemilikan rumah antara yang menjadi tumpuan utama kerajaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan kelangsungan daripada itu sebanyak sejuta rumah mampu milik disediakan untuk rakyat menjelang 2020, " katanya.

Beliau berkata meskipun institusi yang terlibat banyak memainkan peranan meningkatkan jumlah penawaran rumah mampu milik, ia boleh ditambah baik, sebagai contoh mewujudkan program 'rakan kongsi' antara kerajaan persekutuan, negeri dan juga pihak pemaju perumahan

"Program rakan kongsi sebagai contoh boleh memberi manfaat dalam perkara berkaitan pengambilalihan tanah, penyediaan infrastruktur dan juga kebolehcapaian lokasi termasuk memilih lokasi yang sesuai, " katanya.

------------------------------------------------------------------------------------------------- RUANGAN SISI

Skim MyDeposit bertujuan membantu golongan pertengahan bagi pembelian rumah pertama menerusi projek perumahan swasta yang tidak mendapat sebarang subsidi dan ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia berusia 21 tahun ke atas.

Untuk tahun ini kerajaan telah meningkatkan jumlah peruntukan insentif bagi skim MyDeposit kepada RM25 juta berbanding RM20 juta pada 2017 bagi tujuan memastikan lebih ramai rakyat yang layak untuk memohon skim tersebut dapat menikmati insentif berkenaan.

Sebanyak 6,298 pemohon membuat pendaftaran di bawah skim berkenaan sejak 7 April 2016 hingga Oktober 2017.

Daripada jumlah tersebut, hanya 1,469 permohonan diluluskan dengan jumlah bayaran lebih RM39 juta selepas mereka memenuhi syarat seterusnya yang ditetapkan dalam masa 30 hari termasuk berjaya mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan.

Untuk permohonan skim MyDeposit 2018, ia dibuka sejak 15 Dis 2017 sehingga 15 Feb 2018 dan pemohon boleh membuat pendaftaran secara dalam talian di laman sesawang Sistem Pengurusan Perumahan Negara di https://sprn.kpkt.gov.my/.

BERNAMA