Bebola satar digoreng selama satu ke tiga minit sebelum dihidangkan Foto Bernama

Enaknya Bebola Satar Goreng Terengganu

Oleh Ali Imran Mohd Noordin

KUALA BERANG (Bernama) -- Sekali pandang ia seperti bebola ikan cuma apabila dimakan, makanan itu sebenarnya 'satar' yang sinonim dengan masyarakat pantai timur khususnya di Terengganu.

Keistimewaan satar yang penulis sendiri pertama kali cuba makan ini ialah ia digoreng terlebih dahulu dan bukan dibakar seperti yang biasa dijual!

Bebola satar goreng ini antara makanan tempatan yang dijual ketika penulis berkunjung ke Festival Tasik Kenyir baru-baru ini dalam perjalanan pulang selepas melawat Santuari Ikan Kelah (SIK) di Lubuk Kejor, Sungai Petang yang terletak dalam kawasan tasik berkenaan.

Sebagai peminat satar, pastinya saya tidak akan melepaskan peluang untuk mencuba sendiri hidangan unik ini dan ternyata versi satar goreng ini jauh lebih sedap berbanding satar yang dibakar.

Bebola satar goreng ini sebesar duit 50 sen (syiling lama) dan dicucuk batang lidi seperti sate. Setiap batang lidi mempunyai lima ketul satar goreng dijual pada harga RM2.

Dimakan ketika masih hangat berasap, teksturnya yang lembut menjadikan bebola satar ini seakan 'mencair' dalam mulut. Meskipun pertama kali makan satar goreng, kualitinya yang hebat sudah cukup untuk penulis menyenaraikannya antara makanan terbaik di Pantai Timur.

BUAT PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN

Penyediaan bebola satar goreng lebih mudah daripada satar yang dibakar. Untuk satar yang dibakar, adunan yang berasaskan ikan dibalut dengan daun pisang sebelum dicucuk pada lidi dan dibakar hingga masak.

Pengusaha satar goreng, Mohd Rizal Desa, 43, yang penulis temui di Karnival Tasik Kenyir berkata pihaknya mengambil masa menjalankan penyelidikan dan pembangunan sebelum dapat menghasilkan kualiti satar yang difikirkan terbaik.

Beliau yang mengusahakan satu-satunya gerai satar di tapak karnival itu 'Satar Goreng Pok Awang Misai' berkecimpung dalam bidang perniagaan itu sejak Januari 2017.

Menurut Mohd Rizal, bapa dan ibu mentua beliau pernah mengusahakan perniagaan satar pada tahun 80an tetapi terpaksa berhenti atas sebab-sebab tertentu.

Pada tahun 2015, adik ipar beliau, Fakrol Rozi Ramli, 32, kemudiannya memulakan semula perniagaan itu dengan bimbingan ibu dan ayahnya dan membuka kedai di Batu 6, Kuala Terengganu.

Pada awalnya fokus perniagaan adalah kepada jualan keropok lekor, keropok lekor keju, keropok keping dan jualan keropok dalam pek vakum.

Hanya pada akhir tahun 2016 barulah mereka sekeluarga termasuk Mohd Rizal mula membuat penyelidikan dan pembangunan produk satar goreng.

KAJIAN TIGA BULAN

Resipi satar yang mereka gunakan memang resipi tradisional tetapi bagi mendapatkan kualiti yang terbaik, Mohd Rizal dan keluarga menghabiskan masa selama hampir tiga bulan untuk membuat kajian dan ujian melalui puluhan proses percubaan.

"Setelah berpuas hati dengan hasilnya, barulah pada awal tahun ini kami memberi fokus membangunkan produk satar goreng di bawah jenama 'Pok Awang Misai' untuk mempelbagaikan lagi produk jualan dan mengambil peluang akan pasaran yang jarang diteroka peniaga lain," kata Mohd Rizal.

Menurut beliau, setakat ini hanya ada dua atau tiga orang sahaja penjual satar goreng di sekitar Kuala Terengganu setakat hari ini.

Jenama yang dipilih adalah sempena nama pemilik resepi iaitu bapa mertua beliau, Ramli Ismail yang lebih dikenali dengan nama gelarannya Pok Awang Misai.

Penggunaan perkataan 'Pok' disesuaikan dengan loghat masyarakat tempatan Terengganu bagi perkataan 'Pak'.

'UMPPH' RASA IKAN

Bagi Mohd Rizal, peminat satar amat menitikberatkan rasa ikan sama seperti penilaian mereka terhadap keropok lekor. Oleh itu mereka perlu memastikan satar keluaran mereka menepati cita rasa pelanggan.

Bahan yang digunakan untuk satar goreng adalah sama dengan satar yang dibakar, antaranya isi ikan, kelapa muda, cili, bawang, gula dan serbuk perasa.

Untuk proses gorengan, adunan dicedok menggunakan senduk kecil, kemudiannya dijemput-jemputkan dalam kuali berisi minyak panas.

Bagi mendapatkan rasa ikan yang sedap dengan rasa sedikit manis, Mohd Rizal menggunakan ikan selayang yang juga dikenali sebagai ikan sardin.

"Satar goreng ini, dari segi rupa dan bentuknya memanglah tak nampak sedap ataupun menarik tetapi 'umpph-nya' adalah pada rasa ikannya yang kuat. Bila kami beri sampel untuk dirasa, ramai yang patah balik ke gerai," cerita anak jati Kedah yang berhijrah ke Terengganu pada 2003.

SAMBUTAN MENGGALAKKAN

Memandangkan satar goreng Pok Awang Misai ini baru sahaja dipasarkan, Mohd Rizal akan menyertai jualan di pesta-pesta keramaian untuk memperkenalkan dan mempromosikan produk berkenaan kepada orang ramai.

Beliau gembira dengan sambutan hangat orang ramai setakat ini. Bagi jualan sehari di pesta atau keramaian Mohd Rizal menyiapkan 30 kilogram adunan dan menurut beliau, kesemuanya habis dijual.

"Yang paling meminati satar goreng ini adalah orang tua-tua, orang yang 'pior' (asli) Terengganu, atau orang yang memang suka makan keropok lekor rebus kerana adunan satar ini memang asli menggunakan isi ikan," ujar beliau.

Cerita beliau lagi, sewaktu membuat jualan di Kampung Cina, Kuala Terengganu, antara pusat tarikan pelancong di bandar Kuala Terengganu, masyarakat berbilang kaum turut menggemari satar goreng.

"Tidak kira bangsa. Melayu, Cina, bahkan orang putih pun bila mereka dah rasa satar goreng, mereka suka. Kita beri mereka rasa, mereka datang ke gerai, mereka beli," katanya.

Untuk memperluaskan lagi promosi perniagaan beliau, gerakan promosi giat dibuat menggunakan media sosial di samping pengedaran risalah dan kad nama kepada orang ramai.

Bagi yang berhajat menikmati sendiri hidangan unik ini, Satar Goreng Pok Awang Misai akan berada di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Menurut Mohd Rizal, beliau akan membuka gerai di Karnival Usahawan Desa yang berlangsung dari 19 Okt hingga 22 Okt ini.

Mereka yang berminat juga boleh menghubungi Mohd Rizal di talian 017-9383844. Gerai Pok Awang Misai juga sedia menerima tempahan dan jemputan membuka reruai atau gerai padamajlis kenduri-kendara.

KEGEMARAN MASYARAKAT TEMPATAN

Satar goreng sebenarnya bukan satu hidangan yang asing bagi masyarakat Terengganu.

Menurut Mohd Rizal, makanan ini sudah lama dinikmati masyarakat tempatan tetapi jarang dibuat untuk tujuan dijual kerana ia biasanya dibuat untuk dimakan sendiri di rumah.

"Ini yang kita sedang buat untuk meningkatkan kesedaran orang tempatan bahawa ada orang yang menjual (satar goreng) dan kepada masyarakat luar yang berkunjung ke sini supaya mereka tahu kesedapan isi ikan asli yang diadun bersama nyor (kelapa parut) ini.

"Kalau satar yang dibakar, proses pembuatannya pun rumit, ia perlu dibalut dan kemudiannya dibakar. Proses penyediaan sata goreng ini lebih mudah, ringkas dan ia boleh dihidangkan dengan lebih cepat. Kalau pelanggan mahu yang masih panas, dalam seminit dua sudah siap," jelas beliau lagi.

BERNAMA