Fikir Selamat: Standard Keselamatan Untuk Mainan Kanak-Kanak Dan Bateri Primer

Oleh Murni Nasri

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Bahagian Standard Kepenggunaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berperananan mengkaji, merangka dan menggubal peraturan-peraturan teknikal berkaitan standard keselamatan barangan pengguna di Malaysia.

Kewujudan produk-produk yang diragui tahap keselamatannya di dalam pasaran menjadi kebimbangan setiap pengguna di Malaysia yang kadangkala tersalah memilih akibat daripada kekurangan maklumat yang diperlukan sebelum melakukan pembelian.

Sehingga kini, Bahagian Standard Kepenggunaan KPDNKK telah menggubal peraturan-peraturan piawai bagi lima barangan pengguna yang kritikal iaitu alat mainan kanak-kanak, bateri primer, tayar pneumatik, topi keledar motosikal dan pelapik brek gentian.

Peraturan standard keselamatan mainan kanak-kanak dan bateri primer digubal di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 iaitu Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Perakuan Pematuhan dan Tanda Pematuhan Standard Keselamatan) 2010 Pindaan 2013 dan 2016; Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Standard Keselamatan Bagi Mainan) 2009 Pindaan 2010 dan 2016 dan Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Standard Keselamatan Bateri Primer) 2013.

Tindakan penggubalan ini diambil bagi memastikan yang produk-produk ini, sama ada yang dikilangkan di Malaysia mahupun yang diimport selamat untuk digunakan oleh para pengguna di negara ini.

STANDARD KESELAMATAN MAINAN KANAK-KANAK

Mengikut dokumen keselamatan bagi mainan Malaysian Standard (MS) dan standard antarabangsa yang dibangunkan oleh International Organisation for Standardisation (ISO) mainan didefinisikan sebagai mana-mana barang yang direka bentuk atau dimaksudkan bagi kegunaan permainan oleh kanak-kanak yang berumur kurang daripada 14 tahun.

Melalui definisi ini juga secara asasnya, tanggungjawab bagi memastikan mainan yang dibeli untuk kegunaan anak-anak selamat dan sesuai dengan usia jatuh kepada ibu bapa.

Namun ia tidak bermakna, pihak industri boleh lepas tangan dan tidak menjadikan standard keselamatan ini sesuatu yang dititik beratkan dalam penghasilan mainan kanak-kanak ini.

Pada 1 Ogos 2010, KPDNKK melalui Bahagian Standard Kepenggunaan ini telah mewajibkan kesemua mainan kanak-kanak yang dikilangkan di dalam mahupun luar negara untuk mendapatkan tanda Malaysian Conformity (MC).

Penandaan ini merujuk kepada pematuhan standard keselamatan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

STANDARD KESELAMATAN BATERI PRIMER

Meletakkan keselamatan para pengguna di tempat teratas, Bahagian Standard Kepenggunaan kementerian ini juga telah meletakkan syarat pematuhan untuk bateri primer.

Bateri primer merujuk kepada bateri yang tidak boleh dicas semula yang terdiri daripada satu atau lebih unit fungsi asal yang dikenali sebagai sel yang menyediakan sumber tenaga elektrik melalui penukaran langsung tenaga kimia.

Kementerian ini mengawal selia enam kategori bateri primer yang biasa digunakan oleh isi rumah iaitu yang bersaiz AA, AAA, AAAA, C, D dan 9V.

Seperti mainan kanak-kanak, KPDNKK juga mewajibkan pengunaan tanda MC bagi semua bateri primer yang diimport dan yang dikilangkan di Malaysia yang mana tanda MC dan nombor pendaftaran perlu dilekatkan pada setiap unit barang atau pembungkus atau kotak atau bekas dengan jelas, boleh dibaca dan tidak boleh ditanggalkan.

Sebanyak 1,589 syarikat dan perniagaan yang menjalankan aktiviti mengilang, mengimport atau membekalkan mainan kanak-kanak dan bateri primer telah berdaftar dengan KPDNKK setakat 30 Jun 2017.

TINDAKAN TERHADAP KETIDAKPATUHAN

Menurut KPDNKK, pihak industri tertakluk kepada denda dan penalti di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 seperti yang telah digariskan.

Jika orang perseorangan itu merupakan sebuah pertubuhan perbadanan, denda yang dikenakan tidak melebihi RM250,000.

Bagi kesalahan yang kedua dan berikutnya, denda yang dikenakan tidak melebihi RM500,000.

Jika orang perseorangan itu bukan sebuah pertubuhan perbadanan, denda yang dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, denda yang dikenakan tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain untuk tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan yang berterusan, pesalah boleh dikenakan tambahan penalti kepada jumlah denda yang telah disebutkan di atas, juga denda tidak melebihi RM1,000 sehari atau sebahagian hari, selama mana kesalahan itu berterusan selepas disabitkan kesalahan.

TIPS UNTUK PENGGUNA

Dalam perihal pemilihan mainan kanak-kanak, terdapat tujuh bahaya yang perlu diambil kira iaitu bahagian hujung yang tajam, bahagian-bahagian kecil, bunyi yang bising, bahaya objek bergerak, bahaya alat permainan elektrik dan alat permainan yang tidak sesuai peringkat umur.

Ibu bapa dan penjaga juga perlu maklum yang bahan kimia seperti logam berat yang ada di dalam cat, lapisan pada permukaan mainan kanak-kanak yang mengandungi plumbum boleh mengakibatkan kanser dan menghalang perkembangan otak kanak-kanak.

Manakala dalam penggunaan bateri primer, menjadi tanggungjawab para pengguna sendiri untuk memilih jenis bateri yang bersesuaian untuk digunakan dengan betul sebagaimana yang dinyatakan pada alat yang memerlukan penggunaan bateri.

Pengguna juga perlu memeriksa jangka hayat sesuatu bateri primer dan perlu mengeluarkan bateri yang telah tamat tempoh daripada alat dan melupuskannya mengikut cara yang betul.

Selain itu, para pengguna perlu mengelakkan daripada menyimpan bateri bersama objek logam seperti duit syiling atau klip kertas atau menyimpannya di kawasan bersuhu tinggi kerana perkara ini akan menyebabkan peningkatan haba dan kebocoran bateri.

Menggunakan bateri baharu bersama bateri lama juga perlu dielakkan oleh para pengguna bagi memastikan penggunaan bateri optimum untuk alat-alat di rumah.

--BERNAMA