Mahasiswa Tidak Ketinggalan Ceburi Bidang Perniagaan

Oleh Ainul Huda Mohamed Saaid

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Pada zaman ini menjadi usahawan berjaya dalam usia muda bukanlah sesuatu yang pelik.

Malah pengasas Facebook, Mark Zuckerberg, yang baru berusia 32 tahun, tersenarai antara 10 usahawan paling kaya di dunia.

Menyedari kepentingan untuk tidak bergantung pada peluang pekerjaan yang tidak menentu, semakin ramai golongan muda kini menceburi bidang perniagaan.

MAHASISWA TURUT CEBURI BIDANG PERNIAGAAN

Antara yang tidak mahu ketinggalan ialah pelajar sarjana dalam bidang Psikologi Pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur 'Atieqah Mohd Zainudin, 26 tahun.

Beliau kini berniaga busana muslimah dan pakaian persediaan umrah secara dalam talian dan kadangkala berpeluang membuka gerai pada acara-acara tertentu.

Meskipun pendapatan yang diperoleh tidak menentu, iaitu RM1,000 hingga RM2,000 sebulan, di samping pelbagai cabaran lain, Nur 'Atieqah tidak pernah jemu atau berputus asa.

"Saya memang sangat berminat dalam bidang perniagaan kerana dibesarkan di bawah pengaruh mama saya, seorang wanita yang gigih berniaga dan pada masa yang sama juga seorang pekerja kilang suatu masa dahulu," ceritanya kepada Bernama.

Atas dorongan ibunya, Nur 'Atieqah berkata beliau mula berniaga dengan menjual coklat ketika di sekolah rendah.

"Berniaga ialah sunnah Rasullah (Nabi Muhammad) dan serikandi Islam yang hebat iaitu isteri baginda Siti Khadijah juga adalah usahawan yang berjaya.

"Malah saya melihat zaman kini ramai ikon wanita yang berjaya dalam perniagaan dan itulah yang menjadi dorongan utama saya," katanya yang sudah berumahtangga dan mempunyai seorang anak lelaki berusia setahun.

Beliau percaya tiada alasan untuk orang muda sepertinya untuk duduk berpeluk tubuh sahaja menunggu pekerjaan, walhal kerajaan telah menawarkan pelbagai kemudahan kepada kumpulan itu untuk membantu mereka meningkatkan taraf hidup, khususnya dalam bidang keusahawanan.

LANGKAH PERMULAAN YANG BAIK

Katanya para belia turut meraih manfaat daripada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), baucar buku 1Malaysia, kursus perniagaan online dan lain-lain di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Nasional (NTP).

"Saya berasa amat bersyukur kerana dengan bantuan tajaan MyBrain oleh kerajaan, saya mampu menghabiskan pengajian tanpa berhutang," kata Nur 'Atieqah.

MyBrain ialah program biasiswa yang ditawarkan kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi kepada mahasiswa ijazah sarjana muda dan sarjana.

Terbaharu ialah Skim 1 Pelajar 1 Perniagaan yang memberi peluang kepada pelajar untuk mendaftar perniagaan mereka secara percuma dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Peluang keemasan itu tidak dilepaskan Nur 'Atieqah yang telah mendaftarkan syarikatnya Atieq Exclusive, pada Februari lepas.

Beliau percaya skim itu adalah satu langkah permulaan yang baik untuk pergi lebih jauh lagi dalam bidang perniagaan.

"Skim ini dapat membantu pelajar yang berniaga daripada pelbagai sudut.

"Apabila pelajar telah mendaftar dengan SSM melalui skim ini, emosi dan 'mindset' pelajar menjadi lebih fokus dan serius dalam berniaga," jelasnya yang kini menetap di Damansara.

Bagaimanapun Nur 'Atieqah menasihati mahasiswa yang berniaga supaya bijak membahagikan masa dan sentiasa mengutamakan pelajaran.

"Selesaikan hal berkaitan pelajaran dahulu seperti tugasan dan tesis.

"Perniagaan tidak akan mengganggu pelajaran jika kita tahu 'keutamaan' kita, malah menjadi motivasi untuk lebih cepat habiskan pengajian.

"Mengikut pengalaman saya sendiri, semasa sibuk menyiapkan tesis kajian untuk master, pada waktu itulah saya meraih keuntungan lebih kerana ketika itu semangat sedang berkobar-kobar," ujarnya berkongsi pengalaman.

SOKONGAN UNTUK MAHASISWA BERNIAGA

Skim 1 Pelajar 1 Perniagaan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 4 Dis tahun lepas dengan peruntukan geran sebanyak RM10 juta untuk tempoh 10 tahun.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner, sehingga Januari ini, seramai 10,620 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta telah mendaftar perniagaan secara percuma menerusi skim itu.

Daripada jumlah itu, seramai 5,945 adalah mahasiswa wanita manakala 5,029 adalah syarikat mahasiswa lelaki.

Antara bidang yang menjadi tumpuan adalah kosmetik, makanan dan fesyen.

Menyedari ramai usahawan yang kini berniaga secara dalam talian, khususnya golongan muda, SSM turut memperkenalkan SSM BizTrust.

Program itu menyediakan platform kepada pengusaha mendapatkan persijilan BizTrust melalui logo (seal) yang dipaparkan pada laman web perniagaan mereka.

Sehingga Mac, badan itu telah menerima pendaftaran lebih 47,198 peniaga dalam talian dan angka itu dijangka meningkat.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), kementerian itu baru-baru ini turut melancarkan Program Keusahawanan Coca-ColaKU (KU= Komuniti Usahawan).

Program itu bertujuan memberi latihan keusahawanan kepada semua yang berminat dalam bidang itu, terutamanya wanita dan penuntut institusi pengajian tinggi.

Para peserta akan didedahkan kepada aspek asas perniagaan berdasarkan pengalaman syarikat jenama minuman popular itu selain peraturan perniagaan dan pembiayaan.

Matlamat utama bagi program ini adalah supaya peserta yang telah diberikan latihan akan dapat memulakan perniagaan mereka sendiri secara mikro atau kecil-kecilan.

Program berkenaan akan diadakan di seluruh negara iaitu di universiti-universiti terpilih dengan penyertaan dianggarkan 14,000 peserta sepanjang tahun ini.

PELBAGAI BANTUAN UNTUK BELIA

Selain itu, pelbagai inisiatif turut dilaksana kerajaan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) samada menerusi KPDNKK atau agensi lain, bagi membantu memperkasa ekonomi rakyat termasuk belia.

Ini termasuk Transformasi Kedai Runcit (Tukar), Pemodenan Bengkel Automatif (Atom), Kedai Rakyat Satu Malaysia (KR1M) dan Menu Rakyat Satu Malaysia (MR1M).

Mengikut statistik terkini KPDNKK, 302 kedai runcit di seluruh negara telah meraih manfaat daripada program TUKAR pada 2015.

Menerusi program itu pemilik kedai runcit berpeluang memodenkan kedai untuk meningkatkan potensi perniagaan dan merapatkan jurang persaingan.

Manakala bagi program ATOM, sebanyak 188 bengkel kenderaan telah dinaiktaraf pada tahun yang sama.

Program yang bertujuan untuk memantapkan sektor industri perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan automotif itu, telah membantu para mekanik terlibat menjana pendapatan yang lebih baik.

Polisi-polisi kerajaan di bawah ETP dan NTP turut memberi penekanan pada sumber tenaga kerja belia.

Sejumlah 1.8 juta pekerjaan telah diwujudkan antara 2010 hingga 2016 menerusi polisi-polisi berkenaan yang memberi faedah kepada golongan itu.

BERNAMA