Keunikan Makanan Kelantan Turut Warnai Bazar Ramadan

Oleh Mohamad Bakri Darus

KOTA BHARU (Bernama) -- Sebut sahaja Kelantan, antara yang pasti terbayang ialah pelbagai juadah tradisional, sesetengahnya dengan nama unik yang bukan sahaja menjadi kegemaran penduduk negeri ini tetapi juga orang luar.

Dari nasi kepada lauk-pauk, kuih-muih serta minuman, semuanya memiliki rasa yang tersendiri dan amat menyelerakan.

Pelbagai juadah ini bukan sahaja boleh dibeli di gerai tepi jalan atau restoran, malah menjadi sajian di hotel-hotel.

MAKANAN HARIAN

Nasi kerabu daging bakar, nasi dagang ikan aya dan nasi tumpang adalah makanan harian di Kelantan dan mereka yang pertama kali berkunjung ke negeri Cik Siti Wan Kembang ini sudah tentu tidak akan melepaskan peluang untuk menikmatinya.

Begitu juga nasi ulam beserta ulam-ulaman, ikan rebus dicicah dengan budu, makanan ini sudah tidak asing lagi dalam kalangan penduduk Kelantan.

Beralih pula kepada pelbagai jenis lauk-pauk seperti ayam dan ikan percik, gulai serati, gulai kawah dan singgang ikan aya adalah antara yang menjadi kegemaran ramai.

Turut menjadi kegemaran ialah pelbagai jenis kerabu yang dikatakan sebagai pemecah selera termasuk kerabu bunga nipah, kerabu pucuk paku, kerabu perut, kerabu sotong dan kerabu pauh.

Makanan tradisional Kelantan juga memiliki nama yang unik. Contoh kuih muihnya ialah bunga tanjung, jala mas, kuih tahi itik, puteri mandi, badak berendam dan ketupat sotong.

BAZAR RAMADAN

Kehadiran bulan Ramadan memudahkan lagi orang ramai mendapatkan pelbagai jenis makanan itu di bawah satu "bumbung" iaitu di bazar atau pasar Ramadan yang terdapat di seluruh negeri ini.

Kebanyakan bazar ini bermula pukul 3.00 petang sehingga 7.00 malam pada setiap hari termasuk menjual hidangan panas dan dipantau pihak Jabatan Kesihatan untuk menjamin kualiti dan kebersihannya.

Antara bazar Ramadan yang menjadi tumpuan ialah di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini.

Tinjauan penulis mendapati bagi mengelakkan kesesakan di bazar Ramadan, terdapat pengunjung yang membeli juadah sebaik sahaja perniagaan dibuka pukul 3.00 petang.

"Semua jenis masakan Kelantan ada dijual di sini dari nasi, lauk, kuih, air minuman malah tapai pulut dan tapai ubi pun ada," kata seorang pengunjung Hassan Abdul Rahman, 52 tahun.

PELUANG PERNIAGAAN

Ada peniaga yang sudah bertahun-tahun berniaga di bazar Ramadan dan ramai juga yang baru berjinak-jinak berniaga di bulan puasa ini.

Juadah yang pelbagai itulah yang menjadi pilihan untuk buka puasa sehingga menjadikan sesetengah pengusahanya mampu memperoleh pendapatan lumayan.

Zamri Mohd Nor, 42, peniaga ayam percik di bazar Ramadan Perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-4 memberitahu Bernama, ayam percik adalah antara juadah yang popular pada bulan puasa.

"Saya menggunakan lebih 30 ekor ayam setiap hari dan mewarisi resipi ayam percik daripada arwah bapa yang mula berniaga di bazar Ramadan ini sejak 1990," katanya yang menyambung perniagaan itu pada 2005.

Nor Aqidah Nabilah Mohd Rasidi, 28, pula memberitahu Bernama, beliau menggunakan kira-kira 30 kilogram sotong untuk ketupat sotong setiap hari pada bulan puasa ini.

"Antara bahan untuk membuat ketupat sotong ini ialah sotong, pulut, manisan gula melaka dan santan.

"Jualan bermula pukul 3.30 petang dan tiga jam kemudian habis kesemuanya dijual," katanya yang berniaga juadah itu di bazar Ramadan sejak lapan tahun lepas.

SUMBER PENDAPATAN

Bagi Nik Faizah Nik Abdul Rahman, 63, perusahaan kuih-muih tradisional Kelantan menjadi sumber pendapatan utama bagi keluarganya.

Beliau mengusahakan kuih-muih seperti buah tanjung, jala mas, cek mek telur, akok, pauh dilayang dan kuih tahi itik dan membekalkannya kepada peniaga di bazar Ramadan.

"Untuk kesemua kuih berkenaan, saya menggunakan kira-kira 2,000 telur ayam sehari dan ada jenis kuih seperti jala mas hanya menggunakan telur kuning seratus peratus manakala telur puteh digunakan untuk kuih lain seperti kuih tahi itik," katanya.

Bazar Ramadan juga diwarnai dengan jualan nasi Arab dan nasi briyani serta ???????pelbagai jenis air minuman seperti air tebu, air kelapa dan jus buah-buahan.

BERNAMA