Bagan Datuk Pengeksport Obor-obor Terbesar Bertaraf Antarabangsa

Oleh Ahmad Erwan Othman

BAGAN DATUK (Bernama) -- Ramai yang beranggapan bahawa obor-obor atau ampai-ampai (jelly fish), mempunyai sengatan yang begitu 'tajam dan pedih' sehingga mampu melumpuhkan anggota badan buat seketika atau hingga boleh membawa maut.

Badan obor-obor adalah lembut serta lut cahaya seolah-olah seperti 'gelatin' atau 'jeli'.

Jika bertembung dengan hidupan ini ketika melakukan aktiviti air, seboleh-bolehnya cuba elak atau hari kegembiraan anda boleh bertukar menjadi satu 'mimpi ngeri'.

Di sebalik pandangan skeptikal banyak pihak terhadap hidupan air itu yang dipercayai lebih tua daripada zaman kehidupan dinasour, jika diproses dengan cara yang betul, obor-obor boleh dijadikan hidangan istimewa yang lazat seperti kerabu atau rojak obor-obor.

PASARAN EKSPORT

Siapa sangka di pekan Bagan Datuk, sebuah pekan kecil yang sunyi ini mempunyai perusahaan obor-obor awet bertaraf antarabangsa dan dikatakan sebagai pengeluar terbesar di Malaysia.

Terletak di pesisir Sungai Perak di Kampung Bagan Ikan, di situ terdapat lebih 20 pengusaha yang melakukan industri perikanan itu yang pasaran utamanya untuk eksport ke China dan Jepun .

Seorang daripada pengusaha Tan Ah Chun, 54, yang juga generasi kedua menceburi perusahaan itu berkata perusahaan yang dijalankan dalam skala sederhana itu menguntungkan dan adakalanya melibatkan berpuluh tan metrik hasil eksport, mengikut musim.

Ibu kepada tujuh anak itu, yang menceburi bidang berkenaan sejak kecil, berkata, memproses obor-obor awet untuk dijadikan makanan memerlukan teknik dan cara yang tersendiri.

Terdapat beberapa spesies obor-obor yang diproses di bangsal belakang rumahnya antaranya obor-obor jenis merah dan putih yang lazimnya diperoleh daripada nelayan setempat selain mempunyai dua pekerja khas untuk mengutip obor-obor sekitar Sungai Perak.

"Obor-obor yang dah mati, sengatannya tidak aktif. Proses memakan masa kira-kira seminggu dan paling banyak kita proses ialah obor-obor putih.

"Bahagian kepala (berbentuk bulat atau payung) akan diasingkan dengan bahagian kaki kerana pasaran bahagian kepala lebih mahal iaitu sekitar RM5 sekilogram berbanding kaki (sekitar RM2)," katanya yang obor-obor merah awet yang siap diproses mampu mencecah RM20 sekilogram.

PEMPROSESAN

Tan berkata, obor-obor akan dibuang lendir dan dibersihkan terlebih dahulu sebelum direndam semalaman.

Proses selanjutnya ia direndam dengan sejenis bahan larutan yang akan menghilangkan bisa racun di tubuhnya selama dua hari.

Seterusnya obor akan ditaburkan garam bukit untuk membuang saki baki bisa yang masih ada selain untuk mengawet obor-obor yang telah siap dibersihkan agar tahan lama.

"Jumlah garam adalah mengikut sukatan tertentu dan ia dibiarkan satu atau dua malam sebelum dicuci semula. Sekali lagi garam baru ditaburkan dan disimpan dalam bekas yang lain sebelum dipasarkan," katanya.

Terdapat juga restoran dan hotel terkemuka di ibu negara mengambil produknya untuk dijadikan hidangan istimewa sebagai bahan penambah dalam sesuatu masakan.

TANGKAPAN BERKURANGAN

Mencerita lanjut, katanya sejak tiga tahun kebelakangan, tangkapan obor-obor kian berkurangan hingga adakalanya permintaan melebihi penawaran.

Faktor cuaca yang tidak menentu serta persekitaran sungai mahupun muara yang kurang bersih berbanding dahulu turut mempengaruhi tangkapan hidupan itu.

Beliau berkata kesemua tujuh anaknya termasuk dua lelaki, turut mengikut jejak langkah mengusahakan pekerjaan turun temurun keluarganya.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha obor-obor masin, Tan Chin What, 52, menjelaskan bahawa masyarakat di China dan Jepun percaya dengan khasiatnya yang dikatakan mampu menyembuh masalah pernafasan yang berkaitan dengan asma selain mencegah penyakit kardiovaskular.

BERNAMA