:: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan





Datuk Subromaniam Tholasy

Pelaksanaan GST Di Malaysia Berjaya

Oleh Rosmarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Meskipun dibantah pada peringkat awal, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus sejak 1 April, 2015, terbukti sangat berjaya.

Cukai itu yang diperkenalkan bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan, tidak diterima baik oleh beberapa pihak, namun akhirnya, ia menjadi penyelamat kepada sumbangan hasil ketika berlaku kejatuhan harga minyak yang menjejaskan pendapatan kerajaan.

GST semakin diterima, semuanya hasil program penerangan yang dilakukan sejak setahun sebelum pelaksanaannya.

Pada 1 Dis 2015, jumlah syarikat yang berdaftar untuk GST dengan Jabatan Kastam sebanyak 395,524, suatu petunjuk bahawa sektor perniagaan menerima dan yakin manfaat GST kepada mereka.

Timbalan Ketua Pengarah (Kastam dan GST) Kastam Diraja Malaysia Datuk Subromaniam Tholasy berkata beberapa faktor kritikal kejayaan itu termasuk pemasangan dan menaik taraf perisian perakaunan, mengkaji semula sistem dan proses perniagaan supaya mematuhi undang-undang GST.

"Kita telah melantik penasihat dan duta, program penerimaan selain memujuk orang ramai, yang dijalankan untuk melatih organisasi bukan kerajaan (NGO) kerajaan dan swasta.

"Kemajuannya baik dan tidak ada isu-isu utama kecuali beberapa kelewatan dalam pembayaran balik pada awal pelaksanaan," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual menerusi e-mel.

Beliau berkata beberapa faktor kelewatan yang berlaku termasuklah kesilapan mengisi borang pulangan, penyerahan penyata yang tidak teratur selain maklumat bank yang tidak lengkap.

Selain itu, sama ada syarikat tidak dapat dihubungi selepas tujuh hari dari tarikh surat dikeluarkan serta tiada atau tindak balas yang lambat daripada pemohon terhadap pertanyaan oleh pegawai bayaran balik.

"Bagaimanapun, selepas lapan bulan pelaksanaannya, lebih daripada 70 peratus bayaran balik telah dibuat dalam tempoh 14 hari bekerja. Kami akan terus menambah baik proses untuk memendekkan tempoh bayaran balik," kata Subromaniam.

Beliau berkata tahap pematuhan oleh perniagaan lebih daripada 90 peratus dari segi penyerahan pulangan GST-03, dengan baki sebahagian besarnya daripada sektor runcit yang menghadapi masalah ketiadaan sistem Titik Jualan (POS).

Subromaniam berkata untuk kemudahan, setiap peruncit perlu menggunakan sistem POS walaupun GST Akta 2014 masih belum memberi mandat kepada perlunya sistem POS.

Kastam bagaimanapun sudah mencadangkan ia dijadikan mandatori untuk peruncit tertentu.

Dari segi pendapatan, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2016, Jabatan Kastam dijangka mengumpul RM27 bilion daripada GST tahun ini, yang menurut Subromaniam angka itu boleh dicapai.

Untuk 2016, kutipan GST dijangka sebanyak RM39 bilion, dengan sumbangan terbesar dijangkakan daripada sektor runcit dan perkhidmatan seperti makanan dan minuman (F&B), perkhidmatan telekomunikasi, penyiaran, iklan dan perkhidmatan keselamatan, kata Subromaniam.

Sementara itu, pelaksanaan GST merupakan sebahagian daripada pembaharuan program percukaian kerajaan bagi meningkatkan keupayaan, keberkesanan dan ketelusan pentadbiran dan pengurusan cukai.

Walaupun penerimaan orang ramai terhadap GST menggalakkan, masih ada pihak yang belum mencapai kata sepakat terhadap regim percukaian baharu ini yang sudah diamalkan di 160 negara di dunia.

Antara alasan yang diberikan ialah mereka tidak memahami sistem, yang ternyata lebih cekap dan telus berbanding SST yang merupakan cukai penggunaan satu peringkat yang tidak membolehkan perniagaan mengumpul semula cukai ke atas pembelian.

Kumpulan anti-GST menegaskan bahawa cukai itu akan membebankan pengguna, dan tidak adil

-- BERNAMA