:: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan





Adly Mohamed, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Hotel & Residence (THHR) Foto Bernama

Tabung Haji Hotel & Residence Tawarkan Perkhidmatan Patuh Syariah

Oleh Nurul Halawati Mohamad Azhari

KUALA LUMPUR (Bernama) -- "Semua yang diperoleh daripada bisnes Tabung Haji Hotel & Residence (THHR) tidak ada yang lain, seikhlasnya ia dikembalikan kepada ummah dan untuk membangunkan ummah."

Demikian kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Adly Mohamed ketika ditemui Bernama dalam satu wawancara khas bersama beliau.

Mendengar perkongsian beliau mengenai misi dan visi serta hala tuju THHR, tentu sahaja akan membangkitkan rasa senang dan bersyukur kerana Tabung Haji, sebuah institusi kewangan tersohor dan satu-satunya di dunia yang seumpamanya kini semakin melebarkan sayapnya dalam bidang-bidang pelaburan yang patuh syariah.

THHR sebagai sebuah daripada anak syarikat di bawah Tabung Haji ditubuhkan bagi membangunkan bidang hospitaliti dan telah pun diceburinya seperti TH Global dalam bidang katering, TH Travel (perkhidmatan Umrah dan Haji), TH Hotel & Residence (perhotelan).

Setelah beroperasi selama dua setengah tahun dengan lima hotel di Kelana Jaya, Kota Kinabalu, Alor Setar, Terengganu dan Pulau Pinang, THHR kini semakin yakin dan bersedia melangkah lebih jauh dalam bidang perhotelan.

Anak syarikat TH itu kini bakal beroperasi tidak lama lagi di Sepang, Kuching, Kota Bharu dan Johor Bahru malah dijangka akan membuka cawangannya di setiap negeri dalam negara.

TEKANKAN KONSEP HALALAN TOIYIBAN

Membawa nama TH (jawi Ta dan Ha), Adly memberitahu Bernama, label tersebut sangat unik menyebabkan ia mudah dikenali dan diingati. Ini terbukti apabila THHR menerima '2014 Gold Circle Award' daripada Agoda.com sebagai hotel empat bintang pilihan tertinggi oleh pengguna dalam talian .

Menurut Adly, di Kota Kinabalu misalnya, maklum balas yang diberikan pengunjung adalah positif seperti bilik yang besar, moden dan bersih, segar dan baru serta sunyi dan tenang.

"Lebih 86 peratus tempahan yang diterima adalah secara online. Dan yang membanggakan kita adalah kerana tempahan dibuat bukan dari dalam negara sebaliknya pengunjung luar yang tahu dan yakin dengan THHR. Malah kita sering menerima pengunjung yang bukan Islam. Sebabnya hotel kita yang bersih dan tidak ada minuman keras."

Dikenali sebagai hotel yang menyediakan perkhidmatan berteraskan syariah, ia memiliki beberapa ciri yang dapat difahami sendiri apabila pengunjung menggunakan perkhidmatan hotel TH.

Sejauh mana patuh syariah tersebut?

"Orang selalu bertanya, patuh syariah yang bagaimana? Ada azan ke?"

"Saya sering memberitahu petugas dan rakan-rakan saya, patuh syariah itu jangan hanya ditunjukkan secara fizikal sahaja iaitu kemudahan dan perkhidmatan.

Tetapi ditonjolkan secara etika. Contohnya bagaimana kita menyapa orang dan bagaimana kita berpakaian."

Pihaknya sering menganjurkan kursus-kursus dan latihan yang bertujuan mendidik petugas mereka agar beretika dan berjiwa syariah.

Secara fizikalnya pula selain tidak menghidangkan minuman dan makanan beralkohol, THHR turut menghormati kaum wanita dengan menyediakan kolam renang, sauna serta loker yang berasingan. Lebih menyenangkan pintu masuknya juga adalah berasingan. Manakala perkhidmatan gimnasium pula, jika ada pengunjung wanita, pengunjung lelaki tidak akan dibenarkan masuk.

Dalam usaha mendidik ummah serta berdakwah, pihak hotel turut meletakkan ayat-ayat al Quran serta doa-doa tertentu di tempat-tempat seperti cermin solek, pintu bilik dan juga tepi katil, tanda kiblat yang jelas malah pengunjung juga akan dapat melihat sejadah dan Al-Quran sebaik sahaja almari dibuka.

Mereka turut membekalkan maklumat yang tepat mengenai waktu solat bagi memudahkan pengunjung.

Lebih menarik, pengunjung tidak perlu bimbang atau was-was dengan set mandian yang disediakan kerana terbukti syampu dan sabun yang dibekalkan adalah halal dan memiliki tanda halal Jakim serta dibekalkan oleh bumiputera.

"Lebih terperinci, kami memilih haruman berasaskan tembikai susu kerana ia adalah buah-buahan tempatan. Secara tidak langsung, ia kembali kepada misi THHR iaitu ingin membantu ummah. Malah kami berbangga dapat membantu dua pihak sekaligus iaitu pengusaha set mandian dan pengusaha ladang," kata Adly bagi menjelaskan lagi prinsip memberi kembali kepada ummah yang dipegang TH.

THHR turut membuka ruang dan peluang kepada golongan muda yang ingin memulakan kerjaya dalam bidang hospitaliti dengan menjalinkan kerjasama dengan lima buah institusi vokasional. Pihaknya menerima pelajar-pelajar untuk latihan amali dan dididik dengan ciri-ciri hospitaliti yang patuh syariah.

"Dari situ, mereka akan faham dan boleh memulakan karier dalam bidang ini mengikut laluan yang betul," katanya lagi.

POTENSI KEPADA PASARAN

Menawarkan lebih 700 bilik menerusi lima hotel yang ada, ia bakal mencecah 1,000 bilik apabila Sepang Hotel and Convention Centre dilancarkan tahun hadapan. Sebagai sebuah hotel yang masih baru, Adly turut mengakui setiap perancangan dan promosi yang dilaksanakan perlu kreatif dan menepati citarasa masyarakat virtual hari ini.

Menerusi tempahan secara dalam talian yang sangat menggalakkan, pihaknya yakin dengan kaedah pemasaran yang betul, THHR akan terus berkembang dan menjadi pilihan bukan sahaja umat Islam tetapi juga masyarakat bukan Islam.

Pihaknya menjangkakan akan memiliki 9-10 buah hotel dalam tempoh empat tahun akan datang dan kemudian akan melebarkan sayap THHR menembusi potensi di luar negara.

Ia ekoran usaha dijalankan oleh anak syarikat TH yang lain seperti TH Properties yang telah pun berjaya menembusi pasaran luar negara dengan membina hartanah di Sydney, Australia.

"Saya percaya dengan adanya kekuatan sumber manusia (yang sedang digilap di sini),THHR akan bersedia untuk ke pasaran yang lebih jauh dan besar. Bila dah mantap, baru kita akan mulakan."

Pihaknya turut meninjau potensi untuk melabur sebagai restoran kerana mereka turut memiliki TH Global yang memiliki kepakaran dalam bidang katering. Adly bagaimanapun mengakui dalam bidang hospitaliti, adalah sukar untuk memenuhi semua kehendak individu.

Bagaimanapun, menurut beliau, THHR seikhlasnya dan sebaik mungkin akan terus mencuba memberikan yang terbaik kerana memegang prinsip perniagaan mereka. Iaitu kejayaan bersama-sama dengan masyarakat sekitar terutamanya yang mempunyai hubungan perniagaan dengan pihaknya.

Bagi yang berminat menginap atau menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan di Hotel TH, maklumat serta visual yang menarik mengenai rangkaian lima hotel TH iaitu di Kelana Jaya, Alor Setar, Pulau Pinang, Terengganu dan Kota Kinabalu boleh layari www.thhotels.com.my.

BERNAMA