Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini dikenali sebagai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkuatkuasa 11 Jun 2009.

KPDNHEP pada asalnya ditubuhkan pada Oktober 1990 dengan matlamat untuk menggalakkan pembangunan perdagangan dalam negeri yang beretika di samping melindungi kepentingan pengguna.

Bidang tanggungjawab KPDNKK termasuk pengawalseliaan perdagangan dalam negeri, perlindungan hak-hak pengguna, perlindungan harta intelek, dan pendaftaran serta penyeliaan perniagaan.

Dalam menjalankan tanggungjawab ini, KPDNKK menggubal dan mengkaji dasar berkaitan perdagangan dalam negeri, memantau harga barang-barang perlu dan menjalankan aktiviti penguatkuasaan bagi mewujudkan suasana perdagangan dalam negeri yang sihat.

KPDNKK juga bertanggungjawab menyelaras dasar; pelesenan, peraturan dan aktiviti-aktiviti berkaitan keselamatan industri petroleum, petrokimia dan gas.

Perubahan nama kementerian dilakukan berikutan beberapa agensi berkaitan koperasi yang sebelum ini diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD), kini diletakkan di bawah KPDNKK kerana MeCD telah dimansuhkan.

KPDNKK juga bertanggungjawab ke atas agensi-agensi yang sebelum ini terletak di bawah MeCD termasuk Perbadanan Nasional (PNS), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) serta pembangunan berkaitan francais dan vendor.